Seorang lagi pemimpin UMNO Johor iaitu seorang Ketua Pemuda UMNO bahagian bersama teman wanitanya direman selama tiga hari mulai semalam kerana dipercayai terbabit dalam penipuan tawaran memiliki Rumah Mampu Milik Johor atau RMMJ.
Dilaporkan empat mangsa telah membuat aduan ditipu dengan nilai kerugian berjumlah RM120,000 sejak tahun lalu. Siapakah Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan?
Walaupun tidak disebut namanya, tetapi sudah menjadi perbualan di dalam UMNO bahawa beliau adalah pemimpin pemuda di sebuah bahagian yang mana Ketua Bahagiannya adalah sekutu paling rapat dengan Menteri Besar Johor, Khaled Nordin.
Kemudian terbaru, ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor Datuk Abdul Latif Bandi dilaporkan turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal besar tanah dan rumah di negeri itu.
Ketua Pengarah SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad telah mengesahkan penahanan tersebut di Menara Star ketika mengadakan lawatan hormat bersama pegawai tinggi SPRM dengan pihak media.
Abdul Latif merupakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor sebelum diarahkan bercuti sementara menunggu hasil siasatan terhadap skandal tanah terbabit.
Minggu lalu anak kepada exco terbabit bersama-sama dengan pegawai khasnya telah ditahan oleh SPRM dalam satu serbuan yang dijalankan oleh suruhanjaya itu.
Tangkapan demi tangkapan ini secara tidak langsung bukan saja memperlihatkan betapa “kotornya” imej pemimpin-pemimpin UMNO, malah pasti akan memberi kesan kepada kepimpinan kerajaan negeri untuk mempertahankan kuasanya.
Rasuah, penyelewengan, penipuan dan bertindak curang demi mendapatkan wang seolah-olah sudah menjadi mainan harian bagi mereka.
Jika sebelum ini SPRM ada menyebut bahawa 54 peratus kakitangan kerajaan terpalit dengan rasuah, berapa peratuskah pula melibatkan orang politik dan anggota pentadbiran kerajaan?
Adakah ia lebih parah atau rasuah di kalangan anggota pentadbiran dan kakitangan awam sama saja sedang membarah?
Bagi rakyat Johor, sudah tentu mereka memerhati dengan teliti semua perkembangan ini dan menjadikannya sebagai pedoman dalam membuat pilihan di peti-peti undi.
Selain Johor sendiri berdepan pelbagai masalah tersendiri kesan pemecatan Muhyiddin Yassin di mana ramai ahli UMNO menyertai Bersatu, apa yang berlaku kebelakangan pastinya merupakan bonus tambahan kepada mudahnya lagi UMNO dan BN dapat ditumbangkan di negeri itu.
Berbanding negeri-negeri lain yang masih dikuasai BN, Johor sehingga ini nampaknya paling mudah akan bertukar teraju pemerintahan selepas PRU 14 akan datang kerana isu-isu yang menyakitkan hati rakyat sentiasa saja ada dan silih berganti menjadi perbualan.
EmoticonEmoticon