Harga ikan kembung yang kekal RM22 sekilo sejak sebulan lalu membuatkan peniaga laksa dan laksam di sini mengeluh dan termenung.
Rata-rata peniaga berkata jika keadaan itu berlarutan, kemungkinan mereka akan tutup gerai kerana tidak sanggup menanggung kos tinggi membeli ikan untuk membuat kuah laksa.
Pemilik gerai Laksa Telok Kechai, Zailuddin Zakaria berkata, peningkatann harga ikan itu adalah tertinggi sejak perniagaannya beroperasi lebih 50 tahun lalu.
"Saya memerlukan sekurang-kurangnya 120 kilogram ikan setiap hari untuk dijadikan kuah laksa dan jumlah itu bertambah kepada 180 kilogram terutama pada waktu cuti sekolah dan cuti perayaan.
"Jika dulu saya beli ikan kembung pada harga hanya antara RM3 hingga RM4 sekilo, tetapi pada masa ini kini saya terpaksa membeli dengan harga yang tinggi dan ini sangat membebankan saya," katanya.
Zailuddin berkata, perniagaannya buat masa ini masih dapat bertahan walaupun keuntungan yang diperolehi semakin sedikit.
"Kami masih boleh beroperasi kerana kami mungkin sudah dikenali dan ada pelanggan tetap yang sedia menempah laksa kami untuk dijual di pasar malam dan kenduri kahwin serta majlis jamuan oleh jabatan kerajaan dan swasta.
"Saya boleh katakan, peniaga laksa semakin menghadapi dilema. Kalau hendak dinaikkan harga, nanti pelanggan tidak datang, tetapi sebaliknya peniaga pula akan terasa beban bagi menampung kos yang meningkat," katanya.
Peniaga laksam di Jalan Datuk Kumbar, Fadzil Harun berkata kenaikan harga ikan turut menjejaskan perniagaan beliau.
"Perniagaan laksam memerlukan jumlah ikan yang banyak untuk dijadikan kuah yang pekat. Kalau harga semakin meningkat, ia sangat membebankan kami terutama peniaga kecil," katanya.
Harga kembung di Kedah meningkat mendadak daripada RM12 hingga RM22 sekilogram sejak hampir sebulan lalu berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Kekurangan bekalan kembung menyebabkan harganya naik mendadak hingga membebankan orang ramai.
Namun Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari berkata kenaikan harga ikan dijangka hanya buat sementara waktu dan dijangka pulih dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Sebelum ini laut bergelora dan keadaan itu akan pulih sehingga tamatnya musim tengkujuh ini," katanya. - Bernama
EmoticonEmoticon