Semangat sabar terus berusaha hadapi tekanan hidup, berjuang pantang undur mencari jalan penyelesaian pasti bertemu kejayaan. Begitulah resam tuah ayam yang membawa kejayaan hidup dari merempat gelendangan akhirnya bertemu sinar kehidupan bergelar usahawan.
Teo menunjukkan tempat di mana keluarganya pernah tinggal semasa menjadi gelandangan.-PENERANGAN
BERTEMAN AIR MATA DERITA, BERSAHABAT DENGAN SEMUT, NYAMUK
Hidup merempat dengan bertemankan air mata derita, bersahabat dengan semut, nyamuk dan haiwan berbisa seperti kala jengking suatu yang biasa sebagai seorang gelandangan.
Keperitan secebis pengalaman hidup Teo Lim Lai, 55, bersama isteri dan lima anaknya yang masih kecil apabila terpaksa menjadikan kawasan bawah tangga sebuah bangunan kedai sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas dianggap suatu dugaan pahit yang terpaksa ditempuh.
Teo yang berasal dari Sipitang, Sabah berhijrah ke W.P Labuan pada 1975 dan hanya bersekolah sehingga darjah enam di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Labuan.
Pada usia yang muda, Teo banyak melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjadi pembantu di kedai kopi, menjadi ejen jualan rokok,menjual sayuran di kaki lima, menjual ubatan tradisional dan bekerja di firma guaman.
Bertemu jodoh pada tahun 1986 dengan gadis Labuan, Tan Geok Lin dan dikurniakan sembilan anak sebelum empat dari mereka meninggal dunia semasa kecil.
Adat hidup berumah tangga penuh dengan episod suka duka, turun dan naik seperti putaran siang dan malam, kedaifan hidup akhirnya sampai kemuncak apabila tujuh beranak itu terpaksa melalui siang dan malam sebagai gelandangan selepas dihalau tuan rumah tempat mereka menyewa untuk berteduh sekitar tahun 2001.
DUA MINGGU GELANDANGAN
Hidup gelandangan selama lebih kurang dua minggu, merupakan episod duka yang tetap menjadi parut yang membekas di hati.
Apa tidaknya, Tohmahan yang mula menjadi buah mulut masyarakat, dimanipulasi dengan difitnah menjual anak RM5000 seorang untuk berfoya-foya, berjudi dan minum arak.
Cemuhan tidak mematahkan semangat, beliau mula menjual kacang rebus dan telur rebus di pusat-pusat hiburan sekitar bandar Labuan namun usaha masih tidak memberikan sinaran.
Salah satu cawangan utama Teo Tech Experts Outlet .-PENERANGAN
SINAR HARAPAN MULA MEMANCAR
Akhirnya pada tahun 2009, terpancar sinar harapan, apabila Bahagian Pelaburan dan Sosio Ekonomi, Perbadanan Labuan (PL) memberikan tapak berniaga pasar malam berserta bantuan alat berniaga seperti set generator, kanopi dan komputer riba.
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, Teo mula berniaga pasar malam dengan menjual aksesori telefon dan komputer.
Berkat kesabaran dan tidak mengenal erti penat lelah, pada tahun 2012, Teo melangkah setapak apabila berjaya membuka kedai menjual telefon bimbit iaitu Teo Tech Experts Outlet yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan.
GELARAN USAHAWAN SEMAKIN MEMBARA
Gelaran Usahawan semakin membara, apabila setahun selepas itu, Teo terus memacu kemajuan dalam kehidupan dengan membuka cawangan kedua dan sehingga kini beliau mempunyai tujuh cawangan kedai aksesori serta pembaikan telefon bimbit di seluruh W.P Labuan.
Kemajuan perniagaan tidak menjadikan beliau lupa diri bahkan beliau bersyukur atas rezeki yang memihak kepadanya serta berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan.
“Apa yang saya ada sekarang ini bukanlah milik saya tetapi kepunyaan Tuhan dan tidak akan saya lupa kepada golongan yang memerlukan bantuan.
“Saya merasa bersyukur dengan segala pencapaian yang saya ada kini dan sangat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan melalui PL yang telah memberikan bantuan kepada saya untuk membuka lembaran hidup dengan berniaga.
“Saya juga terhutang budi dengan seluruh penduduk Labuan yang selama ini memberikan sokongan sehingga perniagaan saya berkembang maju seperti yang dapat dilihat hari ini,”kongsinya.
Teo juga melahirkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang pernah menyalurkan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) kepada keluarganya sebelum ini.
Timbul rasa ingin menyumbang kembali kepada penduduk Labuan, Teo membuka sebuah pusat latihan kemahiran membaiki telefon bimbit bagi membuka jalan kepada anak muda di Pulau itu untuk mengasah bakat serta menambah kemahiran yang mampu menjana pendapatan.
“Semuanya bermula apabila Pegawai dari Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia mengunjungi kedai dan menawarkan syarikat saya menyediakan pusat latihan.
“Setelah menghantar anak saya menjalani kursus di GIATMARA, pusat latihan kami telah diberi kebenaran untuk mengambil pelajar dari kalangan anak muda terutamanya yang berada di paras kemiskinan negara,”katanya.
Pusat Latihan Teo Tech Experts Outlet telah melahirkan puluhan pelajar yang berkemahiran serta mempunyai segulung Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Menurut salah seorang pelajar, Jeoseh Kuininseh, 31, latihan yang diberi percuma sepenuhnya itu amat berharga buat dirinya untuk menambah kemahiran diri.
“Kemahiran yang saya pelajari ini amat berguna dan boleh membuka jalan untuk saya membuka perniagaan sendiri.
“Jika ada modal, memang saya bercadang untuk membuka pusat pembaikan telefon untuk menambah pendapatan keluarga,”katanya yang pernah bekerja dalam sektor minyak dan gas selama lima tahun.
Peribahasa berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian amat sesuai menggambarkan kesusahan dan kejayaan yang dikecapi Teo.
Apabila ditanya mengenai tips kejayaan beliau, Teo menjelaskan beliau suka bergaul dengan orang yang lebih tua dan berpengalaman.
“Saya suka bergaul dengan ramai orang terutama mereka yang berusia dan mempunyai pengalaman dalam membina kehidupan yang lebih berjaya.
“Selain itu, pengalaman hidup susah bersama keluarga telah mengajar saya untuk mencari idea untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
“Paling penting adalah kehendak diri kita sendiri antara mahu atau tidak untuk bertindak serta mengecapi apa sahaja yang diimpikan dalam hidup,” tegasnya.
Dua orang anaknya membantu menguruskan perniagaan mereka.-PENERANGAN
KEJAYAAN TERUS DIIKTIRAF
Kejayaan beliau ternyata mendapat perhatian pihak tertentu apabila pernah mendapat pengiktirafan antaranya menerima Anugerah Penjaja kecil Terbaik Wilayah Persekutuan pada tahun 2015 yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan,Dato’ Dr Loga Bala Mohan Jaganathan.
Selain itu, Teo pernah dianugerahkan sebagai ‘Bapa Perkasa’ oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan di atas pencapaian puteri tunggalnya, Teo Su Chin yang mewakili Malaysia dalam Acara Olahraga, Sukan Sekolah-Sekolah Asean di Jakarta pada 2007.
Teo yang mempunyai sijil kejurulatihan peringkat dua dari Majlis Sukan Negara (MSN) dan bertindak sebagai jurulatih peribadi, berjaya membimbing anaknya menggapai pingat emas dalam acara lari 1500 meter dan 3000 meter di beberapa kejohanan Olahraga dalam dan luar negara.
Pengiktirafan tidak terhenti disitu apabila beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Pembangunan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan untuk tahun 2016-2018 yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan.
Sedar akan tanggungjawab dan dunia peniaga kecil yang kian mencabar, Teo menubuhkan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Harmoni bagi membela nasib dan kebajikan peniaga-peniaga kecil di W.P Labuan.
“Persatuan ini mempunyai 140 orang ahli yang hampir kesemua adalah peniaga bumiputera yang aktif berniaga di Pulau ini.
“Kami berperanan menyelaras dan memaklumkan semua penjaja kecil mengenai sebarang peluang untuk berniaga terutama pada musim perayaan atau dalam acara-acara besar yang dilangsungkan di Labuan.
“Selain itu, Persatuan ini juga membantu penjaja kecil untuk mendapatkan pinjaman mikro tanpa faedah sebanyak RM50 ribu yang telah diperuntukkan kerajaan bagi membantu peniaga mengembangkan perniagaan.
Teo menerima Anugerah Penjaja kecil Terbaik Wilayah Persekutuan pada tahun 2015.-PENERANGAN
TIDAK LUPA PADA YANG MEMERLUKAN BANTUAN
Dengan slogan ‘Menyatupadukan ahli, menegakkan kebenaran, menyokong yang makruf dan menolak yang mungkar’ persatuan ini berjaya menambah bilangan penjaja kecil dari kalangan warga tempatan dan warganegara Malaysia berbanding sebelum ini.
Seperti payung yang menjadi tempat berlindung dari hujan dan panas, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Harmoni juga menyalurkan bantuan kepada ahli-ahli yang ditimpa musibah.
“Kami berterima kasih sekali lagi kepada kerajaan kerana dengan dana yang disumbangkan kami dapat menhulurkan bantuan kepada ahli-ahli yang ditimpa musibah seperti kebakaran, kematian ahli keluarga dan sebagainya.
“Kami juga sering menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti bantuan kepada warga emas,ibu tunggal dan fakir miskin,” katanya.
Menjadi satu kepuasan bagi Teo kerana rata-rata ahli berpuas hati dengan peranan yang dimainkan persatuan dalam menyelesaikan masalah penjaja kecil seperti mendapatkan tapak berniaga,mengambil berat kebajikan penjaja, dan menyuarakan suara penjaja kecil kepada pihak berkuasa tempatan.
Nasihat Teo kepada mereka yang menghadapi detik sukar dalam kehidupan dan ingin memulakan perniagaan, jangan terlalu fikirkan modal besar untuk berniaga kerana modal yang paling besar adalah idea dan keinginan untuk belajar memperbaiki diri dari masa ke masa.
Teo sempat menitipkan kata-kata mutiara sebagai perkongsian dan azimat untuk menempuh kehidupan yang menjanjikan seribu satu cabaran.
Manfaat diri dalam pelajaran,
Hanyalah itu jadi bekalan untuk hidup di masa hadapan,
Ilmu itu pelindung diri,
Seperti kebun berpagar duri,
Seperti sinar intan baiduri.
/PENERANGAN-
Kediaman Teo sekeluarga kini hasil penat lelah berniaga.-PENERANGAN
EmoticonEmoticon