Doa untuk tujuan perniagaan tidak dibenarkan di dalam Islam, tegas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha.
Othman mengulas mengenai iklan ‘Doa Valet’ yang mengenakan harga tertentu untuk doa-doa yang akan dibacakan di Makkah.
Beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej perkhidmatan sedemikian.
Menurutnya, doa adalah permohonan daripada seorang hamba yang meminta pertolongan dari Allah dan umat Islam boleh berdoa di mana sahaja asalkan menepati syarat agar ia dimakbulkan seperti yang dinyatakan para ulama.
“Sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam
“Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak kepada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.
“Justeru, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tular di lama sosial apabila satu laman Valet Doa menawarkan pakej berdoa di tanah suci bagi mereka yang mahukannya, dengan harga sehingga RM2,500.
Othman juga menyarankan umat Islam supaya memberikan maklumat kepada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri jika timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap isu seumpama itu.
Manakala Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyarankan agar Valet Doa dibatalkan perniagaannya.
Dr Zulkifli berkata Valet Doa sama sekali tidak menepati Islam yang sebenar dan tidak mengikut syariat kerana tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan salafussoleh iaitu ulama soleh terdahulu yang berbuat demikian.
“Penamaan pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah sangat tidak berakhlak dan mengelirukan. Ia jelas menunjukkan sifat komersialnya dan manipulasi doa,” katanya.
Dr Zulkifli berkata, antara perkara yang menimbulkan keraguan termasuk jaminan 100 peratus pemakbulan doa.
“Berhubung ‘servis doa’, barang yang diniagakan dan diupahkan adalah kemakbulan doa sedangkan makbul atau tidaknya doa itu adalah hak Allah secara mutlak.
“Ianya bersifat tidak jelas kerana kemakbulan adalah mutlak bergantung kepada-Nya. Ia tetap tidak boleh dilakukan sekalipun ada jaminan wang dikembalikan,” katanya.
Menurut catatan di laman FB Valet_Doa itu, ia mempromosikan servis untuk hajat-hajat dibacakan terus di Masjidil Haram Makkah.
Pengendali yang memperkenal dirinya sebagai Nasrin Harin, 40, atau Haji Arin dan tinggal di Shah Alam, Selangor mendakwa, perniagaan ini adalah pertama di dunia, cepat dan menjimatkan kos.
Dia menawarkan tujuh pakej yang berharga antara RM500 hingga RM7000 tetapi kononnya memberikan tawaran istimewa bagi 333 individu terawal. - utaranews.com
EmoticonEmoticon