Jika anda memilih untuk menukar agama kepada Islam, ada beberapa implikasi dan akibat dari segi undang-undang tentang apa yang anda boleh dan tidak boleh lakukan:
Pertama,
Jika anda memeluk agama Islam, status undang-undang anda akan berubah. Anda akan didaftarkan dengan Jabatan Agama dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di mana kedua-duanya sudah dikomputerkan dan informasi boleh diakses di seluruh negara.
Anda akan diberi "Sijil Masuk Islam" oleh badan berkuasa agama Islam yang mengesahkan bahawa anda sekarang seorang Muslim. Dan status agama anda yang baru ini juga akan dicatat di MyKad.
Kedua,
Dengan memeluk agama Islam, anda diwajibkan mengikuti semua syarat-syarat Islam menurut enakmen-enakmen Islam yang terdapat di ketiga belas negeri di Malaysia. Enakmen-enakmen tersebut menyatakan:
1. Jika anda berumur di bawah 18 tahun, anda memerlukan kebenaran daripada ibu bapa anda untuk memeluk agama Islam. Tetapi dalam kebanyakan kes pengislaman yang berlaku (terutama untuk bawah umur) tarikh masuk Islam dikosongkan dan hanya akan diisi apabila mereka mencapai umur 18 tahun!
2. Jika anda mempunyai anak di bawah 18 tahun, anak-anak anda akan turut menjadi Islam, dan mereka akan dianggap sebagai Muslim dan tertakluk kepada undang-undang enakmen Islam yang sama.
3. Kad pengenalan anda akan merekodkan anda sebagai seorang Muslim, walaupun anda tidak mengikuti secara aktif semua amalan dan kepercayaan Islam. Jadi anda akan didenda, disebat, ditahan dan boleh dipenjarakan kerana melanggar undang-undang Syariah seperti bersembahyang di gereja, makan di khalayak ramai semasa bulan Ramadan, berkhalwat dan sebagainya.
4. Meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asal anda adalah samada tidak dibenarkan atau akan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah, di mana anda akan didenda, disebat, ditahan atau dipenjarakan.
5. Anda tidak boleh mengahwini seorang yang bukan Islam.
6. Jika anda mengambil keputusan untuk bercerai dan cuba keluar dari Islam, anda akan kehilangan hak penjagaan anak-anak anda kerana mereka telah didaftar sebagai Muslim.
7. Apabila anda meninggal dunia, keluarga bukan Islam anda tidak berhak menuntut sebarang wang, harta benda, warisan dan sebagainya yang anda tinggalkan untuk mereka. Mayat seorang yang telah masuk Islam akan diambil dari keluarga bukan Islamnya untuk dikebumikan secara Islam, walaupun dia hanyalah Islam atas nama saja.
Ketiga,
Jika anda telah berkahwin dan sekiranya pasangan anda memilih untuk memeluk Islam, ini tidak membawa kesan secara langsung kepada anda secara peribadi tetapi akan menyebabkan ketidak-tentuan dalam kehidupan kekeluargaan anda:
1. Pasangan anda yang telah masuk Islam mungkin akan mengambil anak-anak bersamanya, dan dari segi undang-undang mereka akan dianggap sebagai Muslim. Sekiranya anda ingin mencabar hal ini, tidak ada jaminan pihak berkuasa akan berpihak kepada anda kerana salah seorang ibu bapa/penjaga adalah Islam.
2. Dalam kes ini, keluarga akan berpecah dan menyebabkan banyak stres dan sengsara kepada kehidupan keluarga, seperti dalam Kes M. Indira Gandhi, S. Shamala dan R Subashini.
3. Apabila pasangan anda masuk Islam, anda tidak mempunyai hak ke atas anak anda dan harta pasangan anda.
Implikasi Untuk Murtad/Keluar Dari Islam
Tidak ada jalan keluar dari agama dalam Islam. Anda tidak boleh masuk Islam dan kemudian mengambil keputusan untuk keluar dari Islam sekiranya anda:
1. Berasa Islam bukan atau tidak sesuai untuk anda.
2. Bercerai dan ingin kembali kepada agama atau keluarga asal anda.
Hukuman atau Tindakan yang dikenakan di bawah Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Islam atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (mengikut seksyen masing-masing dalam Negeri-negeri di Malaysia) adalah:
Pertama,
Didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau disebat sehingga enam sebatan atau campuran mana-mana dari ketiga-tiga bentuk hukuman ini.
Kedua,
Tahanan mandatori di Pusat Pemulihan Aqidah sehingga 36 bulan.
Ketiga,
Tiada dikenakan sebarang bentuk hukuman tetapi diwajibkan mengikuti sesi-sesi kaunseling sebelum kebenaran keluar Islam diluluskan.
Walau bagaimanapun, memeluk agama Islam dan kemudian keluar dari Islam akan mempengaruhi SELURUH aspek kehidupan seseorang, termasuk kehidupan kekeluargaan yang membawa kepada akibat dan implikasi yang serius.
Kita tahu ada ramai orang Kristian yang telah memeluk agama Islam tanpa mengetahui atau tidak serius memikirkan semua implikasi daripada penukaran agama mereka. Mudah-mudahan, perkara yang dibangkitkan di atas akan menjelaskan isu-isu ini, yang telah membawa banyak kesedihan kepada mereka yang terjejas.
Kami ingin menekankan bahawa kami tidak menentang sebarang keputusan untuk mengikuti Islam atau mana-mana agama lain kerana kita menjunjung hak kebebasan beragama untuk semua rakyat Malaysia seperti yang dijamin dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan tetapi untuk memilih dengan betul, anda perlu tahu apa yang anda pilih dan apakah akibat daripada pilihan anda tersebut.
Bagi pelajar-pelajar yang kadang-kala dihadapkan dengan usaha pengislaman di sekolah, jangan ragu-ragu untuk memberitahu masalah yang anda hadapi kepada ibu bapa, pastor/pemimpin gereja atau guru-guru Kristian anda. Semoga Tuhan sentiasa melindungi semua.
(Artikel ini berdasarkkan dokumen Catholic Bishops' Conference of Malaysia bertajuk, "The Legal Implications of Conversion To Islam")
EmoticonEmoticon