Dengan hanya boleh dijejaki menerusi pelayaran enam hari menggunakan bot atau mengikuti percutian belayar selama sebulan merentasi Lautan Atlantik Selatan, Tristan da Cunha ialah destinasi percutian paling jauh.
Gugusan pulau berpenghuni paling terpencil di dunia itu terletak kira-kira-kira 2,000 kilometer dari Saint Helena, pulau berpenduduk paling hampir dengannya, 2,399 kilometer dari Afrika Selatan dan 3,360 kilometer dari Amerika Selatan.
Ia hanya 11 kilometer panjang dan luas kira-kira 60 kilometer persegi.
Satu-satunya penempatan di kepulauan itu dikenali sebagai Edinburgh of the Seven Seas, yang digelar oleh kira-kira 300 penduduknya sebagai The Settlement.
Walaupun kecil dan terpencil, Tristan da Cunha kaya dengan sejarah dan amat unik.
Antara syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong belayar ke sana ialah Oceanwide Expeditions yang akan berlabuh tiga hari di Tristan da Cunha, nama yang diberi kepada pulau utama dan pulau sekelilingnya, termasuk Pulau Nightingale yang tidak berpenghuni.
Kapal syarikat berkenaan berlepas dari Ushuaia di Tierra del Fuego, Argentina kerana ia cara terbaik untuk sampai ke kepulauan itu.
Bagaimanapun, untuk berlabuh atau mendarat tidak dijamin. Kira-kira 30 peratus cubaan mendarat sejak 1998 gagal kerana cuaca buruk.
Bagi mereka yang bercuti ke sana, tidak ada hotel disediakan.
Bagaimanapun, mereka boleh tinggal sementara dengan penduduk tempatan, keturunan dari pelbagai negara, termasuk Scotland, England, Belanda, Amerika Syarikat dan Itali.
Penduduk yang semuanya petani, juga menjadi pemandu pelancong dan penjual cenderamata.
Berdasarkan sejarah, pulau berkenaan terbukti menjadi persinggahan penting bagi kapal yang perlu berhenti dalam pelayaran merentasi Atlantik.
United Kingdom mengisytiharkan kepulauan itu tanah jajahannya pada 1816 untuk memastikan Perancis tidak boleh menggunakannya sebagai pangkalan untuk menyelamatkan Napoleon Bonaparte yang dipenjarakan di Saint Helena.
The Settlement dinamakan sebagai tanda penghormatan untuk anak Ratu Vicoria, Putera Alfred, Duke of Edinburgh yang melawat pulau berkenaan pada 1867.
Duke of Edinburgh kedua, Putera Phillip, juga melawat pulau berkenaan pada 1957.
Sumber: Hmetro.com.my
EmoticonEmoticon