Soalan:
1. Apakah pandangan Islam terhadap amalan homoseksual di kalangan lelaki dan perempuan.
2. Ramai dari kalangan mereka berpendapat bahawa perasaan yang ada terhadap kaum sejenis adalah sesuatu yang semula jadi dalam diri mereka dan mereka terperangkap dengan keadaan. Bagaimanakah seseorang yang cenderung kepada kaum sejenis dapat melawan perasaan sedemikian?
3. Bagaimana pula mereka dapat berpatah balik?
Jawapan:
Pada pendapat saya Islam melarang amalan homoseksual di kalangan lelaki dan perempuan. Apa yang saya maksudkan dengan homoseksual di sini ialah hubungan seks sesama jenis, baik dalam bentuk penetrasi atau foreplay, bukan perasaan kasih atau cinta yang ada pada seorang terhadap rakan sejenis. Perasaan sebegini bukan sesuatu yang dilarang oleh Islam sama sekali. Islam memerintahkan kita saling mengasihi sesama manusia.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Kasihilah apa yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di langit [Tuhan].” (Riwayat Al-Turmuzi)
Islam juga menganjurkan semua Muslim (lelaki dan perempuan) agar memberi kemuncak tertinggi kasihnya kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dia kasihi dari ibubapa dan anak-anaknya sendiri dan manusia sekalian.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Rasulullah s.a.w dan sahabatnya amat kasih mengasihi sesama mereka sebagaimana disebutkan dalam ayat 48:29.
Hujah Agama
Mengenai larangan hubungan seks sesama lelaki, Al-Quran ada menceritakan kisah nabi Lut yang diutus oleh Allah untuk membaiki kaumnya yang mengamalkan perbuatan ini. Kaum ini kemudiannya dimusnahkan oleh Allah taala kerana kedegilan mereka. Walaupun tiada pernyataan secara jelas dalam Al-Quran bahawa seks sesama lelaki adalah haram sebagaimana Allah taala haramkan bangkai dalam ayat 5:3, namun terdapat logik yang jelas akan pengharamannya sebagaimana berikut:
Al-Quran mengharamkan apa yang ia namakan sebagai “fahisyah” (sesuatu yang keji) di dalam ayat-ayat 7:33, 16:90. Segala yang disifatkan sebagai “fahisyah” sentiasa dikaitkan dengan sesuatu yang terlarang atas dasar haram bukan makruh seperti dalam ayat-ayat 2:169, 2:268, 6:151, 7:28, 24:19, 42:37
Al-Quran pula mensifatkan hubungan seks sesama jenis lelaki sebagai “fahisyah” di dalam ayat 7:80, 27:54 dan 29:28.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa hubungan sesame jenis lelaki dalah terlarang.
Sememangnya Al-Quran juga tidak menggunakan perkataan jima’ dalam mensifat perbuatan kaum Lut yang tercela tapi ini tidak menafikan kesimpulan di atas kerana:
Perkataan “tatuuna” dalam ayat-ayat yang mensifatkan perbuatan kaum Lut itu seperti dalam ayat 7:81 walau pun pada asalnya bermakna “mendatangi” ia bukan bermaksud mendatangi sebagai satu interaksi sosial kerana dalam ayat itu Al-Quran kaitkannya dengan perbuatan bersyahwat dan “fahisyah” - sesuatu yang terlarang - sedangkan “mendatangi” dalam erti interaksi sosial sesama jenis bukan sesuatu yang dilarang sama sekali sebagaimana yang dicontohkan dalam kehidupan sosial Rasulullah s.a.w bersama para sahabat lelaki.
Memaknakan “mendatangi” dengan erti jima’ sebagai satu kiasan sesuai dengan cara Al-Quran dalam membicarakan persoalan ini. Ia amat konsisten dengan perkataan yang digunakan juga bagi hubungan seks antara suami isteri dalam ayat 2:223.
Sifat “fahisyah” dalam Al-Quran juga sering kali digunapakai sebagai kiasan bagi zina, iaitu seks yang terlarang.
Malahan perkataan jima’ yang memberi makna langsung pada perbuatan seks memang tidak digunakan sama sekali dalam Al-Quran, hatta dalam mensifatkan zina sekali pun.
Dahsyatnya azab yang ditimpakan ke atas kaum nabi Lut juga menjadi petanda bahawa perlakuan mereka itu adalah haram danbukan hanya sesuatu yang tidak disukai sahaja (makruh).
Berdasarkan pada hujah-hujah dan logik di atas, pengharaman seks sejenis lelaki mempunyai asas yang kuat.
Al-Quran memang tidak menyentuh soal hubungan seks sejenis antara perempuan tetapi larangan ke atasnya dapat diqiyaskan pada larangan ke atas hubungan seks sesama lelaki kerana maksudnya yang sama.
Ini diperkuatkan pula oleh hadis yang melarang hubungan jenis sesama perempuan.
Dalam Islam hubungan seks hanya boleh dilakukan oleh, a) pasangan lelaki dan wanita, dan b) melalui ikatan tali perkahwinan yang sah.
Sejumlah besar ulama berpendapat bahawa Islam juga melarang hubungan seks melalui dubur, hatta oleh pasangan suami isteri.
Ini kerana Allah yang mencipta manusia tidak mencipta saluran dubur bagi tujuan seks. Bahkan, Islam juga melarang lelaki dan wanita untuk memuaskan nafsu seks mereka sendiri.
Islam menganjurkan lelaki dan wanita untuk berkahwin bagi memenuhi naluri seksnya. Ini adalah cara yang lebih sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan kehidupan yang suci. Persepsi bahawa perasaan sedemikian adalah naluri semula jadi sejak lahir adalah tidak tepat. Islam berpendapat bahawa semua bayi lahir atas fitrah yang murni. Iaitu bersih dari segala kecenderungan yang buruk.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Semua bayi dilahirkan atas fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kenapa Rasulullah s.a.w tidak memasukkan menjadikannya seorang Islam juga? Kerana Islam adalah fitrah semula jadi setiap manusia. Fitrah Islam bersih dari kecenderungan sedemikian.
Hujah Sains
Hujah bahawa kecenderungan homoseksual adalah sesuatu yang tabii atau bersebabkan baka (gene) bukanlah satu dapatan saintifik yang konklusif. Ustaz Dr. Firdaus Yahya ada menulis satu makalah bertajuk LGBT: A Critical Study yang diterbitkan oleh Pergas dalam terbitannya Jurnal Dakwah edisi Disember 2012. Makalah ini boleh didapati melalui internet dengan membuat carian menggunakan tajuknya. Dalam makalah ini, beliau menolak melalui kajian sains sendiri akan kelemahan hujah sedemikian.
Wallahu A`alam
Terbitan asal: haniff.sg
EmoticonEmoticon