Friday, 3 March 2017

Bukanku Pinta Mencintai Suami Orang, Namun Aku Terpaksa Akur Pada Taqdir. Sudah Suratan Aku Harus Bermadu.

Kita namakan isteri kedua ini Aisyah.


Aku bertemu dengan suamiku sedang ketika itu aku tidak mengetahui akan halnya yang telah beristeri dan mempunyai anak. Mungkin kerana jeritan hati yang mahu diri dikasihi dan mengasihi mengaburi mataku. Aku diberitahu oleh suamiku bahawa dia sebenarnya telahpun beristeri ketika hatiku tidak mampu lagi melupakan dirinya.

Seorang yang mudah tersenyum, peramah dan sangat perihatin. Hatiku terpaut bukan sahaja kerana ketampanannya tetapi juga pada pekertinya.

Malang bagiku kerana bukan ku pinta mencintai suami orang namun aku terpaksa akur pada taqdir. Sudah suratanku aku bermadu.

Namun, ku akui hidup bermadu ini walau aku isteri yang muda, dan usiaku yang belum mencecah 20 membuatkan aku merasa bahawa sepatutnya aku mendapat perhatian lebih daripada suamiku. Malangnya, bukan suamiku ini. Dia tetap tidak melupakan tanggungjwabnya pada isteri pertama dan anak-anak mereka.

Aku pernah merajuk kerana suamiku terlupa untuk menelefonku apabila berada pada giliran isteri tuanya. Aku masuk dalam perkahwinan 3 segi ini dengan seribu harapan yang aku akan membahagiakan suamiku, sesuatu yang padaku tidak mampu dilakukan oleh maduku. Namun, sebaliknya pula yang terpaksa aku hadapi.

Suamiku menggiliri kami seadilnya tetapi kerana tanggungjawabnya pada anak-anaknya, masa nya selalu dihabiskan menguruskan hal mereka. Rupanya menjadi isteri kedua tidak seindah yang kusangka.

Syukurnya kerana keluargaku menerima perkahwinan kami seadanya, malah suamiku menjadi menantu kesayangan. Itu tidak menghairankanku kerana susah orang untuk tidak menyukai suamiku. Selain memiliki raut wajah yang tampan, dia juga baik sekali peribadinya. Bagaimana mungkin orang membenci lelaki begitu?

Walau begitu, aku tidak mampu menahan cemburu apabila suamiku menunjukkan dengan terang bahawa antara dia dan tanggungjawabnya di rumah isteri pertama, tidak boleh ada penghalang. Aku perlu menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru sebagai isteri kepada suami yang juga suami kepada perempuan lain dan bapa kepada anak-anak yang ramai.

Memang sukar dan hingga kini aku masih lagi belajar menyesuaikan diri. Kasihku pada suami tinggi dan aku sanggup berkorban perasaan, lagipun kesemua keperluanku dipenuhinya, cumanya, hakikat bahawa dia ada tanggungjawab lain yang kekadang meruntun jiwaku.

Ramai yang bertanya padaku, apa perasaan menjadi isteri kedua, satu soalan yang hingga kini aku masih memikirkan jawabannya. Bahagiakah aku? Ya, aku bahagia kerana suamiku sangat baik tetapi aku juga merana kerana suamiku adalah juga suami orang. Alangkah baiknya andai dia milikku seorang tetapi takkan mungkin kerana suamiku tidak akan sekali- kali melepaskan isterinya, kecualilah kalau isterinya berkeras minta diceraikan.

Lalu, aku kini bermadu dan dengan usia perkahwinan yang telah lebih 5 tahun, aku masih berusaha mencari kebahagiaan sebenar. Moga kebahagiaan milikku kerana aku juga telah punya anak-anak yang perlukan kasih kedua orang tuanya.

| BM

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon