Kiyoto Saito, seorang petani padi muda dari Kengo, Wilayah Yamagata, Jepun, cuba untuk mengubah persepsi orang ramai mengenai kerja pertanian melalui cara berpakaian yang pelik di mata orang lain ketika berada di ladang. Sama ada ketika memandu traktor, atau berdiri di atas sawah padi, Kiyoto selalu memakai sut elegan yang lengkap dengan baju sut dan tali leher.
Keluarga Kiyoto telah mengerjakan sawah padi di sekitar Kengo kira-kira 400 tahun, tetapi sebagai seorang remaja, Kiyoto mendapati tradisi itu sesuatu yang membosankan, dan telah berpindah ke bandar. Beliau kembali ke kampung halamannya beberapa tahun yang lalu dan berazam untuk membina sebuah keluarga dan melibatkan diri dalam perniagaan keluarganya, tetapi membuat keputusan untuk melakukan sesuatu yang unik mengikut caranya.
Idea untuk memakai sut di sawah itu bermula sebagai satu lawak. Suatu hari, di meja makan, abangnya berjenaka mengenai bercucuk tanam dengan memakai sut yang elegan, tetapi Kiyoto menerimanya dengan begitu serius. Beliau melihat idea itu sebagai cara yang sempurna untuk mengubah persepsi masyarakat mengenai kerja pertanian di Jepun.
“Sebahagian besar orang berfikir bahawa seorang petani itu ‘kotor sepanjang hari’ dan tidak memperolehi wang yang banyak,” katanya.
“Saya mahu para belia berfikir bahawa berkebun adalah sesuatu yang menyeronokkan.
Kiyoto melihat idea berpakaian kemas sebagai cara yang sempurna untuk mengubah persepsi masyarakat mengenai kerja pertanian di Jepun.
Tetapi menjelaskan tujuannya itu agak sukar pada awalnya, dan tidak ada seorang pun yang kelihatan memahami apa yang beliau lakukan di atas sawah dengan berpakaian kemas seperti seorang ahli perniagaan atau pekerja pejabat.
Akan terus memakai sut
“Saya agak menonjol, mereka tidak faham kenapa saya memakai sut. Seorang petani berkata kepada saya bahawa saya seolah-olah memperbodohkan mereka,” kata Kiyoto.
Pada awalnya, malah keluarganya sendiri terkejut dengan pilihan pakaiannya itu. Datuknya bimbang dengan bekerja di sawah berpakaian seperti itu boleh mengundang bahaya. Bapanya pula mengakui bahawa beliau agak keliru semasa kali pertama beliau melihat Kiyoto berpakaian begitu di sawah, tetapi beliau tidak mengatakan apa-apa mengenainya.
Tetapi lama-kelamaan ia mula berubah dan orang ramai mula mempelajari bahawa petani muda itu dalam usaha mencabar persepsi buruk mengenai pertanian, dan kini Kiyoto Saito berkata ramai sudah menyokong gayanya.
“Jadi saya akan terus memakai sut saya,” katanya.
Seorang petani yang segak dan berpakaian kemas adalah sesuatu yang jarang, tidak hairanlah jika Kiyoto telah menjadi tajuk dalam akhbar-akhbar Jepun, serta percetakan lain, dan juga telah dijemput dalam rancangan-rancangan televisyen.
Beliau juga mempunyai sebuah blog di mana beliau kerap memuat-naik pengalaman berkebunnya dan juga gambar-gambarnya berpakaian sut lengkap.
| BM
| BM
EmoticonEmoticon