Seorang pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat meninggal dunia selepas motosikal berkuasa besar yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Genuang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Inspektor Irwanzi Idrus, 30, dalam perjalanan dari IPD Segamat menuju ke Hospital Daerah Segamat (HDS).
“Setibanya di kawasan kejadian, motosikal berkuasa besar yang ditunggang oleh mangsa telah bertembung dengan sebuah lori sampah yang memasuki simpang dan orang awam yang melihat kejadian tersebut terus membawa mangsa ke HDS.
Menurutnya, isteri mangsa, Noraslina Refin juga telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan mangsa yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah juga meninggalkan dua anak yang masih kecil.
Katanya, pemandu lori sampah tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa kini berada di rumah mayat HDS untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh warisnya untuk dikebumikan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan IPD Segamat telah kehilangan seorang pegawai yang berdedikasi dan komited dengan kerjanya,” katanya.
| BM
EmoticonEmoticon