Friday, 1 July 2016

5 Tempat Terlajak Berpuaka Di Malaysia.

Betul ke wujud tempat-tempat yang berpuaka di Malaysia ni? Mungkin ramai dari kita yang pernah mengalami sendiri keadaan yang tidak menyenangkan dan seram di luar sana.

Dengar cerita, kononnya ada ranking tempat seram lagi berpuaka ni, biar betul? Jom baca senarai top 5 tempat berkenaan dibawah: 

1. Highland Towers


Seramai 48 orang menjadi mangsa korban, pada 11 Mac 1993, bertempat di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor, apabila salah satu blok Highland Tower runtuh. Terdapat sumber yang mengatakan bahawa jumlah mangsa lebih daripada 48 orang yang tersenarai di Wikipedia manakala mangsa yang selebihnya, terus terkubur di tapak itu. 

Mungkin, atas sebab itulah tempat ini “berhantu”. Pernah juga mendengar pengalaman dari pemandu teksi yang menghantar penumpang di daerah ini namun apabila sampai di lokasi yang dituju, "penumpang yang kebiasaannya duduk di tempat duduk belakang akan hilang tiba-tiba!!

2. Banglo Mona Fandey


Nama Mona Fandey atau Maznah Ismail agak popular pada awal 90-an kerana kes bunuh ahli politik, Mazlan Idris. Mayat Mazlan Idris ditemui tertanam di dalam sebuah bilik/stor berdekatan dengan banglo ini yang terletak di Pahang. Mona merupakan seorang penyanyi pop dan dipercayai mengamal ilmu batin. Pada tahun 2001, Mona dan 2 lagi orang dijatuhi hukuman gantung dan hukuman tersebut dilaksanakan pada 2 November 2001 di Penjara Kajang.

3. Kemayan City


Terletak di daerah Johor Bahru, bersebelahan dengan Jalan Skudai. ‘Mangsa’ bangunan ini selalunya warga Singapura. Benarkah? Berikut adalah kisah yang biasa diceritakan.

Sebuah keluarga yang berasal dari Singapura menghadiri kenduri saudara mereka di Johor. Sewaktu pulang dari kenduri pada lewat malam, mereka terlihat sebuah pusat membeli-belah yang terang bercahaya dan kelihatan meriah. Mereka mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bangunan itu dan berbelanja besar. Selesai membeli-belah semahunya, mereka segera pulang ke Singapura memandangkan hari semakin lewat. Sampai sahaja di rumah, alangkah terkejutnya mereka apabila barang-barang yang diletakkan di dalam but ghaib dan duit ‘baki’ yang diberi jurujual tidak lagi berada di dalam poket. Yang ada hanyalah dedaun kering. Keesokannya siang, mereka pergi bangunan itu sekali lagi dan mendapati bahawa bangunan itu sememangnya kosong.

4. Lebuhraya Karak


Lebuhraya ini juga menghubungkan Kuala Lumpur dengan Pahang. Siapa yang tidak pernah dengar akan cerita Volkswagen Kuning ataupun Iswara putih. Dah terlalu banyak kemalangan yang berlaku di kawasan terowong di Genting Sempah sehingga orang ramai takut menggunakan lebuhraya ni.

5. Villa Nabila Johor Bharu


Terdapat 4 versi cerita tentang banglo ini dari dalam laman web namun, tiada satu pun yang dapat mengesahkan cerita sebenar misteri banglo ini. Ianya terletak berdekatan dengan Bukit Serene, berhampiran Straits View Hotel dan menghala Dataran Johor Bahru. 

Versi 1 - Keluarga Nabilla adalah golongan berada dan mereka hidup dalam keadaan harmoni. Tanpa diketahui sebab musababnya, suatu hari bapa Nabilla mengamuk dan menembak semua orang di dalam banglo tersebut dan kemudian membunuh dirinya sendiri. 

Versi 2 - Sebuah keluarga yang kaya dikurniakan seorang anak perempuan yang bernama Nabilla. Oleh kerana terlalu menyayangi anak itu, mereka menamakan rumah tersebut dengan Villa Nabilla. Suatu hari, rumah mereka dirompak oleh sekumpulan penjenayah yang kemudiannya membunuh kesemua penghuni manakala mayat anak perempuan itu disimen di dalam dinding/lantai rumah tersebut. Misteri terungkai apabila mereka yang diganggu meminta pertolongan dari ‘orang bijak pandai’ yang berjaya mengeluarkan mayat Nabilla. Kejadian yang berlaku dipercayai bersangkut paut dengan dendam dan iri hati ibu tiri Nabilla. 

Versi 3 - Ada sekeluarga yang bahagia tinggal di villa itu. Keluarga itu dianugerahkan pewaris kekayaan dan dialah si jantung hati kepada kedua orang tuanya. Nabilla nama diberi. Tidak diketahui latar belakang keluarga itu. Nabilla telah di bunuh dengan kejam oleh amah di rumah itu. Mayatnya di simenkan di dinding rumah tersebut. Menurut cerita saksi yang pernah masuk ke dalam rumah itu, terdapat sebuah kolam renang dan segala perabot masih ada serta dalam keadaan baik. Terdapat juga gambar-gambar Nabilla di atas meja ruang tamu.

Versi 4 - Keluarga Nabilla telah dirompak dan Nabilla telah dirogol dan dibunuh dengan kejam. Mayatnya ditanam di dinding rumah tersebut.

Artikel Terkait